Welcome to Our World!

Welcome to Our World!

Wednesday, August 3, 2011

Welcome to Our World!

In the name of Allah, the Most Gracious, the Most Merciful

Kashfy is a vocal singing group that hails from Malaysia whose name is derived from an Arabic word which carries the meaning ‘to reveal/discover’. The group was founded by several ordinary lads with extraordinary determination on the basis of keen exploration and experimentation of musical art. They sincerely feel that music is absolutely one of the many effective means to convey the message of Islam.

It is always a top priority for Kashfy to ensure clarity as well as simplicity in their effort to convey true messages to the public. Although frequently being identified as a nasheed group, these men have always been comfortable to be known as simple musicians who love performing live before the public.

Kashfy is very much influenced by the styles of music of several huge names in the world of Islamic music such as Sami Yusuf, Zain Bikha, Dawud Wharnsby Ali, Yusuf Islam and Hamza Robertson. These big names surely have got extremely unique elements in their music which are seldom assimilated in Malaysian mainstream of nasheed that, if cleverly developed, could attract more listeners towards the beauty of Islam and its messages.


Apart from being a simple group of singers, members of Kashfy are also professionals in-the-making (insyaAllah) in a variety of fields which include medicine, modern engineering and architecture whilst most of them are memorizers of Quran (Hufaz). This in fact may become one of the positive factors to enable Kashfy to probably be a good role model amongst youths and at the same time, conveying good messages with their own style.

Tuesday, August 2, 2011

Kashfy menawarkan pakej perkahwinan dan pakej videografi

Sekali lagi Kashfy Entertainment membuka lembaran perniagaan barunya dengan menawarkan pakej perkahwinan buat sesiapa sahaja yang bakal menamatkan zaman bujang mereka dengan harga yang paling berpatutan. Pakej ini termasuk menyediakan set audio sistem untuk majlis perkahwinan dan sesi fotografi buat pengantin dengan pakej-pakej yang istimewa.

Selain itu Kashfy turut menawarkan perkhidmatan videografi yang julung-julung kali diadakan. Perkhidmatan ini turut ditawarkan untuk bakal pengantin yang ingin merakamkan kenangan terindah mereka. Ia juga ditawarkan untuk mereka yang ingin membuat video dokumentari, video muzik, video filem pendek dan sebagainya. Harga permulaan yang ditawarkan adalah RM 3000 untuk sesebuah event dan harga sebenar boleh dirunding semasa temujanji di ofis Kashfy.

Mari rakamkan hari-hari terindah anda dengan pakej yang amat lumayan ini!

Friday, July 8, 2011

Studio Kashfy Sudah Mula Beroperasi!

Akhirnya Studio Kashfy telah mula beroperasi sepenuhnya. Studio ini telah menjalankan operasinya sejak 5 bulan lalu dan bertempat di Batu Cave Centre Point. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh sound engineer Aiman Misri (juga sound engineer Studio Inteam) yang mempunyai kelulusan ijazah Audio Engineering dari SAE Institute Singapore. Buat masa ini harga promosi ditawarkan untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat rakaman vokal atau instrument. Caj sewa yang dikenakan ialah:

- 1 session (4 hours RM100) - save RM20

- regular price : RM 30/hour.

Jadi kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi kami dengan segera di talian 012-2740273 (Suhairil). Alamat studio adalah seperti berikut:

17-1A Jalan TIB 1/1,Batu Caves Center Point, 68100 Batu Caves, Selangor D.E.

Jangan lepaskan peluang keemasan ini, dan buktikan kemampuan vokal/instrumen anda di Studio Kashfy!

Monday, June 28, 2010

Perkhidmatan PA System daripada Kashfy Entertainment


Kashfy kini sedang giat menyediakan perkhidmatan PA System berkualiti tinggi untuk majlis-majlis atau event di sekitar dan di luar Lembah Klang. Perkhidmatan PA System Kashfy ini telah dijalankan sejak dua tahun yang lepas dan banyak menjana pendapatan & menyumbang dana syarikat Kashfy Entertainment berikutan ia mendapat permintaan yang menggalakkan di sekitar Lembah Klang untuk konsert-konsert nasyid, majlis-majlis perkahwinan dan lain-lain. Kashfy turut menawarkan khidmat deejay dan live performance atas permintaan. Kadar sewa PA System yang dikenakan adalah berpatutan dan termasuk kos pengangkutan dan ia dibuka untuk tempahan ramai. Bagi sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan PA System, bolehlah menghubungi saudara Suhairil di talian 0122740273 atau saudara Huzaifah di talian 0136730807 atau menghantar email ke am_origin@yahoo.com.

Friday, June 25, 2010

Luqman Melanjutkan Pelajaran ke UK


KLIA, Ogos 2009 – Salah seorang anggota Kashfy, Luqman Faiz kini telah menyambung pengajian ke UK setelah 2 tahun menuntut di International Medical University (IMU), Bukit Jalil mengambil program ijazah berkembar. Beliau menuntut dalam bidang perubatan dan sekarang meneruskan tahun klinikal perubatan di University of Manchester, United Kingdom selama 3 tahun. Manakala tiga orang lagi anggota Kashfy masing-masing sedang menuntut di tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Ihsan sedang menuntut dalam tahun akhir perubatan di UIA Kuantan manakala Suhairil dan Syafiee masing-masing menuntut dalam tahun akhir kejuruteraan dan senibina di UIA Gombak. Komitmen pelajaran ini memungkinkan Kashfy untuk menangguhkan aktiviti-aktiviti rakaman dan persembahan pentas buat sementara waktu dan lebih menumpukan kepada aspek-aspek teknikal dan penyelenggaraan untuk beberapa perancangan terbaru di bawah syarikat Kashfy Entertainment.

Tuesday, July 1, 2008

Pengenalan Kumpulan Kashfy

Kashfy merupakan sebuah kumpulan vokal dan band yang berasal dari Malaysia. Mengambil perkataan daripada bahasa Arab yang membawa maksud discovery, Kashfy merupakan tempias kepada ekspresi seni beberapa anak muda yang gemar menjalankan eksplorasi muzik sebagai salah satu wadah untuk mereka berdakwah kepada masyarakat.

Kashfy sentiasa menekankan pembawakan mesej yang jelas dan terus kepada masyarakat berbanding menerusi media elektronik dan publisiti bukanlah suatu keutamaan buat Kashfy. Tidak selesa dilabelkan sebagai kumpulan nasyid atau rock dan sebagainya, Kashfy kerap mengetengahkan lagu-lagu world music secara live di pentas persembahan dengan diiringi pelbagai instrument muzik hasil bakat setiap ahli.


Walaupun menerima sumber inspirasi yang pelbagai, pendekatan Kashfy lebih banyak dibayangi oleh artis-artis muslim di peringkat antarabangsa seperti Sami Yusuf, Zain Bikha, Dawud Wharnsby Ali, Yusuf Islam, Hamza Robertson dan sebagainya. Pembawakan artis-artis tersebut amat menarik minat Kashfy memandangkan ia satu pendekatan dakwah yang universal yang jarang ditonjolkan kepada masyarakat khususnya di Malaysia.


Satu lagi kelainan yang amat ketara dibawa oleh Kashfy adalah keterlibatan ahli-ahlinya dalam bidang professional seperti perubatan, kejuruteraan, dan senibina di samping sebahagian daripada ahli-ahlinya merupakan penghafaz Al-Quran. Keterlibatan ini nyata membolehkan Kashfy untuk dijadikan role model para remaja masa kini di samping menyampaikan mesej dakwah mereka dalam irama yang tersendiri.

Sejarah Penubuhan Kumpulan Kashfy

Menyoroti sejarah penubuhan kumpulan kashfy, kumpulan ini pada mulanya dibarisi oleh anak-anak muda yang merupakan penuntut program persijilan di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Kumpulan yang pada asalnya bernama IQNiG (Intelectual Quranic Nasheed Group) ini adalah hasil cetusan idea saudara Ihsan Abdul Razak yang ditubuhkan bagi mengisi keperluan masa lapang pelajar-pelajar persijilan di samping mereka berusaha menghabiskan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam masa setahun setengah. Semasa di Darul Quran lagi kumpulan ini aktif mengadakan persembahan di dalam dan luar kampus seperti persembahan sempena konvokesyen dan di majlis-majlis perkahwinan.Setelah mereka tamat pengajian, aktiviti kumpulan ini diteruskan lagi di Pusat Matrikulasi UIAM dengan pertukaran beberapa ahli.
Semasa di pusat matrikulasi, IQNiG diberi penghormatan untuk mengadakan persembahan sempena konsert yang diadakan di Darul Quran. Konsert yang bertemakan Karnival Selawat Harmonika (Kashar) itu membariskan kumpulan-kumpulan nasyid ternama seperti Raihan, Nowseeheart, dan Mirwana. Sehubungan dengan penyertaannya dalam konsert yang besar ini, IQNiQ mula memperkemaskan ahlinya dengan membawa masuk saudara Luqman Faiz yang merupakan penuntut di INTEC ketika itu untuk menambahbaik mutu vokal di samping menjadi solo kumpulan. Kemasukan Luqman Faiz ini membawa kepada detik awal penubuhan kumpulan Kashfy yang rata-rata ahlinya masih kekal sehingga kini.
Bakat dan persembahan mantap IQNiG pada konsert tersebut kemudiaannya dihidu oleh Nordin Jaafar yang merupakan solo kumpulan Alarmme ketika itu. Nordin Jaafar dalam rangka kerjanya untuk menyiapkan projek album selawat di bawah kelolaan syarikat Telaga Biru terus menghubungi kumpulan IQNiG untuk sesi ujibakat dan penyerahan demo tape. Hasil daripada ujibakat yang memuaskan itu, ahli-ahli IQNiG kemudiaannya diberi kepercayaan oleh Nordin Jaafar untuk merakamkan album selawat di bawah pemantauannya di samping beliau turut menjadi lead singer dalam album tersebut. Ketka itu, IQNiG dianggotai oleh empat orang ahli iaitu Ihsan Abdul Razak, Ahmadsyafii’ei Abdul Kudos, Luqman Faiz dan Suhairil Izham. Ketika itu, Ihsan merupakan pelajar praperubatan tahun kedua di Pusat Matrikulasi UIAM dan saudara Suhairil dan Syafii’ei merupakan pelajar tahun pertama di pusat yang sama masing-masing dalam bidang kejuruteraan dan senibina. Luqman pula merupakan pelajar praperubatan tahun pertama di INTEC, Shah Alam.
Pada awal November 2005, proses rakaman album selawat pun bermula yang bertempat di studio milik Faizal Tahir di Ukay Perdana. Proses rakaman album yang berjalan selama 2 bulan tersebut akhirnya membawa kepada tertubuhnya kumpulan Kashfy, nama yang diilhamkan oleh saudara Ihsan Abdul Razak.

Pelancaran Album Remaja Berselawat

Ketika proses rakaman berjalan, Kashfy banyak mendapat tunjuk ajar daripada Faizal Tahir mengenai teknik-teknik rakaman dan susunan vokal yang betul. Kashfy juga diberi peluang oleh Nordin Jaafar untuk menggubah irama lagu selawat yang bersesuaian di samping menyumbang kepada penulisan lirik untuk sesetengah lagu. Proses rakaman yang kadangkala memenatkan itu turut mempertemukan Kashfy dengan artis-artis nasyid, komposer dan pemain muzik yang turut bertandang ke studio tersebut seperti Alwi Al Haddad, Achik, kumpulan Brothers, kumpulan Firdaus dan ramai lagi. Mereka sedikit sebanyak menyumbang idea dan tenaga untuk menyiapkan album tersebut.
Setelah memakan masa hampir 2 bulan, akhirnya album yang diberi judul Remaja Berselawat itu berjaya disiapkan dengan jayanya. Memandangkan album tersebut adalah sebuah projek di bawah Telaga Biru, maka syarikat tersebut telah membuat tawaran kepada Kashfy untuk menandatangani kontrak sebelum pelancaran album boleh dilaksanakan. Namun, disebabkan komitmen pelajaran yang begitu membebankan, tawaran tersebut terpaksa ditolak oleh Kashfy. Setelah berbincang panjang dengan pengurus Telaga Biru, Hj. Waharp, akhirnya persetujuan dicapai dengan Kashfy tidak bertindak selaku artis di bawah Telaga Biru walaupun album tersebut adalah di bawah tanggungan Telaga Biru. Ini sekaligus membolehkan Kashfy bergerak secara sendiri di samping tidak mengganggu komitmen mereka terhadap pelajaran.


Apabila album Remaja Berselawat dilancarkan, Kashfy mula menjalankan promosi album melalui sesi wawancara di stesen-stesen radio tempatan seperti Radio IKIM dan Radio KL. Selain mempromosi album, peluang ini turut diambil untuk memperkenalkan kumpulan Kashfy kepada masyarakat umum. Tidak kurang juga promosi yang dibuat melalui persembahan-persembahan Kashfy di sekitar Lembah Klang.
Selain giat mengadakan persembahan, sebahagian ahli Kashfy turut menyumbangkan tenaga mereka sebagai backup voice untuk kumpulan nasyid yang lain seperti pada Anugerah Nasyid IKIM 2005 apabila Kashfy menjadi backup voice untuk kumpulan Alarmme. Tidak kurang juga penyertaan Kashfy dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti turut sama menjayakan perayaan Maulid Nabi di Felda Pasoh 2, Negeri Sembilan yang disiarkan di RTM 1.

Penyertaan dalam Akademi Seni Raihan

Pada awal tahun 2007, Nordin Jaafar dipelawa menyertai Raihan selama beberapa tempoh untuk menggantikan Nazrey sebagai solo kumpulan Raihan. Penyertaan Nordin Jaafar, yang pernah menjadi pengarah projek album selawat Kashfy ini secara tidak langsung membuka peluang kepada Kashfy untuk bertapak dibawah naungan Raihan. Raihan yang amat berminat dengan konsep yang dibawa Kashfy melalui album Remaja Berselawatnya mengambil Kashfy sebagai artis pertama untuk Akademi Seni Raihan yang turut juga menampilkan kumpulan Soutul Ilham sebagai kumpulan nasyid kanak-kanak.
Di bawah akademi ini, Kashfy diberi peluang oleh Raihan untuk merakamkan album Yatim, sebuah album yang bertujuan untuk mengumpul dana untuk anak-anak yatim yatim seluruh negara. Dalam album tersebut, Kashfy merakamkan semula lagu Kasih Sayang nyanyian Raihan secara acapella dan berduet dengan Raihan dan Soutul Ilham untuk lagu baru, Kita Semua Yatim. Selain merakamkan album, Kashfy bersama Raihan turut menjayakan konsert PEYATIM yang bertempat di USM, Pulau Pinang di hadapan ribuan anak-anak yatim seluruh Malaysia.
Kashfy juga diamanahkan untuk menggantikan persembahan-persembahan Raihan di sekitar Lembah Klang tatkala Raihan sibuk dengan persembahan-persembahan di luar negara. Persembahan yang paling tidak dilupai Kashfy ialah sewaktu menjayakan Konsert Nur anjuran PEYATIM di Istana Budaya. Konsert itu membariskan artis-artis ternama tanahair seperti Ramli Sarip, Mawi, Aisyah, Nash dan ramai lagi. Pada malam konsert tersebut Kashfy membawakan lagu Kita Semua Yatim dengan iringan orkestra daripada Dewan Filharmonik Petronas.

Bergerak Secara Solo

Setelah agak lama berada di bawah bumbung Raihan, sudah tiba masanya bagi Kashfy untuk bergerak secara solo setelah sekian lama menimba pengalaman dan kemahiran sebagai anak seni. Hasil inisiatif saudara Suhairil Izham dan permuafakatan semua ahli, akhirnya syarikat Kashfy Entertainment Enterprise ditubuhkan. Syarikat yang diuruskan oleh Suhairil Izham ini bukan sahaja menjadi platform untuk Kashfy bergiat aktif dalam aktiviti seninya, tetapi ia turut menawarkan kemudahan-kemudahan lain seperti event management, penyediaan PA dan lighting system, pembekalan alat-alat perkusi, penganjuran kelas vokal dan perkusi dan lain-lain.
Mempunyai syarikat sendiri memberi satu kemudahan yang besar kepada ahli-ahli Kashfy untuk mengurus sendiri karier seninya memandangkan setiap ahli Kashfy semakin sibuk dengan pengajian masing-masing.Sekarang ini Ihsan merupakan pelajar perubatan tahun ketiga di UIA Kuantan, Suhairil merupakan pelajar kejuruteraan tahun kedua di UIA Gombak dan Luqman merupakan pelajar perubatan tahun kedua di International Medical University, Bukit Jalil.
Kashfy juga membuat sedikit pertukaran ahli dengan membawa masuk dua ahli baru iaitu saudara Hilmi Suhaimi dan saudara Husaini untuk menggantikan saudara Syafii’ei yang terlalu sibuk dengan komitmen pelajaran. Hilmi merupakan pelajar tahun ketiga kursus senibina di UIA Gombak manakala Husaini merupakan pelajar tahun pertama kursus Bahasa Moden dan Komunikasi di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Terkini, Kashfy dalam perancangannya untuk menerbitkan single memandangkan sudah lama menyepi dalam aktiviti rakaman. Lagu yang bakal menjadi single pertama itu adalah hasil garapan saudara Suhairil yang mungkin turut menampilkan Nazrey Raihan sebagai duet utamanya. Terdapat beberapa buah lagu yang masih lagi dalam proses rakaman yang rata-ratanya adalah hasil cetusan kreativiti ahli-ahli Kashfy sendiri. Semoga dengan terbitnya lagu-lagu tersebut nanti, Kashfy dapat mengorak langkah lebih jauh lagi dalam persada muzik tanahair dan juga luar negara, sekaligus merealisasikan hasrat utama Kashfy untuk merakamkan album bersama artis-artis muslim antarabangsa di serata dunia.

Wednesday, June 25, 2008

Pelancaran Album Remaja Berselawat



Kuala Lumpur,Januari 2006- Album Remaja Berselawat telah di lancarkan di Pejabat Urusan Telaga Biru, Bandar Sri Damansara. Album ini mengandungi 13 track selawat-selawat popular yang dilagukan.Antaranya ialah Selawat Kamaliah, Selawat Al-Bihar, Selawat Tenteram Jiwa, Selawat Sayyid Ahmad Al-Badawi, Selawat Tafrijiyah, Selawat Sa'adah, Selawat Isra' wal Mi'raj, Selawat Jibril dan Selawat Popular. Kesemua selawat ini dialunkan dengan latar belakang music percussion.

Selawat-selawat dalam album ini dinyanyikan oleh kumpulan Kashfy bersama-sama dengan Nordin Ja'afar(Solo kumpulan Alarmme).Album ini telah diterbit dan diedarkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. Album ini boleh di dapati di kedai-kedai buku agama, stesen petronas dan kedai-kedai music yang terpilih dengan harga RM19.90.

Selawat yang terkandung dalam album ini amat sesuai untuk di amalkan dan dengan susunan music yang ringkas, memudahkan pendengar untuk menghafal dan mengamalkan selawat tersebut sebagai amalan seharian.Susunan music latar yang rancak juga sesuai untuk didengar dan menenangkan jiwa.


"Tenangkan jiwa & amanlah dua dunia dengan selawat Rasulullah s.a.w."